CERITAKU SEBAGAI PELAJAR ASPER 17 (PART 2)
PART 2 : KOLEJ 13
Kolej 13 merupakan satu-satunya kolej yang menjadi tempat menghuni para pelajar asasi. Kolej 13 atau singkatannya K13 terbahagi kepada dua bahagian iaitu K13 A dan K13 B. K13 A menempatkan blok kediaman pelajar lelaki iaitu dari blok A hingga blok D manakala bagi blok kediaman pelajar perempuan pula merangkumi blok E hingga blok H. Untuk K13 B, kedudukanya agak jauh dari blok kediaman K13 A dan hanya mempunyai dua blok kediaman iaitu blok P1 dan P2. Kesemua penghuni di kedua-dua blok tersebut hanya menemptatkan pelajar perempuan sahaja.
Setiap blok kediaman mempunyai lima aras dan setiap bilik mempunyai 6 pelajar. Jangan risau ruang bagi satu partition amatlah besar dan almari yang disediakan juga agak besar. Setiap aras juga mempunyai tandas dan bilik mandi yang tersedia. Sedikit rahsia untuk dibocorkan hehe tandas blok F merupakan tandas pilihan para pelajar perempuan kerana suasananya yang agak selesa berbanding tandas-tandas di blok lain. Boleh dikatakan tandas baru.
Untuk K13 B, satu bilik hanya menempatkan dua orang pelajar dan almari juga sangat besar berbanding bilik K13 A. Jika ditanyakan kepada saya sebagai seorang penghuni blok H, saya rasa beruntungnya pelajar yang dapat tinggal di K13 B kerana keselesaannya dan tidak lupa juga kafe atau tempat makan yang tersedia di bahagian bawah blok juga menarik dan mempunyai banyak pilihan.
Namun untuK K13 A, hanya mempunyai satu tempat makan iaitu MSZ Corner. Masakan di kafe ini juga boleh tahan dan harganya juga boleh dipertimbangkan. Walaubagaimanapun, kebiasaanya para pelajar asasi di K13 A akan memilih untuk membeli makanan di luar kolej 13. Antara tempat makan yang menjadi pilihan para pelajar asasi ialah
- Kolej serumpun
- Putra Food Court (Kolej Pendeta Za'ba)
- Kafe blok P2
- MSZ Corner
Selain itu, Kolej 13 juga mempunyai satu dobi di blok kediaman lelaki dan perempuan. Satu dobi mempunyai 3 mesin basuh dan 3 mesin pengering. Ini bermaksud kadangkala pelajar terpaksa berebut tempat untuk mengambil giliran mereka untuk membasuh pakaian. Seperti dobi-dobi lain juga, dobi Kolej 13 menggunakan token. RM 4 untuk setiap penggunaan mesin tidak kira mesin basuh atau mesin pengering. Jika ingin jimat, awak boleh sahaja membasuh pakaian kotor menggunakan tangan dan menyidai pakaian tersebut di ampaian yang memang sudah tersedia di bahagian bawah blok.
Sebagai tambahan, setiap bahagian bawah blok-blok kediaman tersedia ampaian untuk menyidai baju dan setiap tandas blok juga mempunyai tempat khas atau singki rata untuk membasuh baju mengunakan tangan.
Seterusnya, di Kolej 13 juga terdapat balai atau dataran phoenix. Dataran ini selalunya menjadi tempat pelajar duduk atau tempat mengambil angin. Saya selalu memilih Dataran Phoenix sebagai tempat untuk saya menelefon ibu saya. Best sangat suasana yang dirasakan pada waktu malam apabila berada di Dataran Phoenix. Tak perlu takut kerana kedudukannya dekat dengan kafe MSZ Corner. Lebih menarik lagi, selalunya MSZ Corner sering menjadi tempat belajar para pelajar asasi pada waktu malam. Kiranya, memang sungguh riuh ya kafe tersebut pada waktu malam dan sangat berwarna-warni dengan lampu kelip-kelip.
Untuk tempat pembuangan sampah, para pelajar dikehendaki membuang sampah di rumah sampah yang terletak berhampiran blok lelaki. Kelebihan untuk para pelajar lelaki sebenarnya dan agak menyukarkan pelajar perempuan kerana mereka terpaksa berjalan keluar dari kolej 13 untuk menuju ke rumah sampah. Tidaklah jauh tapi jika dibandingkan jarak yang perlu dijalan oleh pelajar lelaki dan pelajar perempuan cukup tinggi bezanya. Saya selalu memilih untuk membuang sampah di waktu malam dengan roomate saya sebab seperti yang saya katakan suasana malam di kolej 13 adalah suatau perkara yang sangat indah dan amat dirindukan.
Kolej 13 juga mempunyai dewan yang tersendiri. Kadang kala dewan tersebut digunakan untuk pelbagai program yang dianjurkan oleh MPK (Majlis Perwakilan Kolej) 13. Sebagai contoh, program Iftar Perdana dan Solat Terawih. Tidak lupa juga, dewan tersebut juga sering digunakan oleh pelajar untuk bermain badminton. Terdapat juga gelanggang bola tampar yang terletak bersebelahan dengan dewan kolej 13. Berdasarkan pengalaman saya, saya selalu melihat gelanggang bola tampar tersebut sering dipenuhi oleh pelajar lelaki yang bermain bola tampar pada waktu petang.
Akhir sekali, Kolej 13 juga mempunyai sebuah surau iaitu Surau Orion. Sejujurnya, Surau Orion merupakan tempat yang paling saya sukai apabila berada di Kolej 13. Jika diimbas kembali diari kehidupan saya di Kolej 13, Surau Orion sering dihidupkan dengan lantunan azan yang baik dan sering membuatkan hati saya berasa sebak. Malah, surau tersebut juga sering dihidupkan dengan bacaan Yassin, Ma'thurat , ayat-ayat cinta Allah dan selawat-selawat yang dipimpin oleh pelajar-pelajar yang digelar Sahabat Orion. In Shaa Allah semoga awak semua yang bakal menjadi penghuni kolej 13 juga dapat merasakan memori yang indah seperti diri ini lalui. Cubalah cari sahabat yang baik dengan melihat siapa yang dirinya sering dekat dengan agama, siapa yang dirinya sering menjadi sukarela untuk menghidupkan surau, siapa yang dirinya sering mengingatkan diri kita tentang agama dan siapa yang dirinya sering mempamerkan akhlak yang baik. Paling penting, untuk pelajar lelaki jangan lepaskan peluang untuk solat berjemaah di Surau Orion. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengimarahkan masjid mahupun surau yang menjadi identiti Islam itu sendiri π
In Shaa Allah sampai di sini sahaja coretan saya untuk part 2 ^^
assalamualaikum :D
Comments
Post a Comment